PROGRAM KEUSAHAWANAN DI MRSM

A. PENGENALAN

Program keusahawanan di MRSM dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu P&P melalui subjek Pendidikan Keusahawan (KPU), Program Usahawan Muda (PUM) dan Pendidikan Koperasi Sekolah (Koperasi MRSM Bhd.).

B. PENDIDIKAN KEUSAHAWANAN (KPU)

Pendidikan keusahawan di MRSM merupakan satu pendekatan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar MRSM. Subjek Pendidikan Keusahawanan (KPU) ini bermatlamat untuk memupuk dan membentuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar MRSM supaya menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan. Objektif subjek ini ialah:

  • meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pelajar bagi memula dan melaksanakan perniagaan dengan berkesan
  • menyediakan peluang pembelajaran dan latihan keusahawanan secara praktikal
  • mendedahkan pelajar kepada organisasi perdagangan dan keusahawanan multi nasional dan antarabangsa

Subjek KPU, 18 jam pertemuan wajib diikuti oleh semua pelajar tingkatan 4 dalam semester pertama. Subjek ini mejadi syarat wajib lulus graduasi pelajar MRSM. Guru-guru tertentu dipilih untuk mengajar subjek ini diluar jadual waktu persekolahan. Pelajar-pelajar yang mempunyai minat yang tinggi dalam keusahawanan akan melaksanakan praktikal melalui Program Usahawan Muda (PUM).

Dengan adanya subjek keusahawanan ini di MRSM adalah diharapkan pelajar akan memahami dengan lebih jelas tentang pembudayaan keusahawanan, persediaan sebagai usahawan dan melaksanakan idea perniagaan. Kursus ini merangkumi pelbagai aspek keusahawanan dari apa itu konsep keusahawanan hingga kepada penyediaan kertas kerja untuk sesuatu projek perniagaan.
Program keusahawanan yang dilaksanakan diMRSM merupakan antara ciri terbeza dalam sistem pendidikan MRSM.

Proses perkembangan kemahiran keusahawanan ataupun enterprising skill yang diperolehi oleh pelajar akan dapat melengkapkan dan menyediakan diri pelajar dengan pengetahuan keusahawanan sebagai satu alternative kepada pemilihan kerjaya.

C. PROGRAM USAHAWAN MUDA (PUM)

Latar Belakang / konsep
Program Usahawan Muda (PUM) diperkenalkan di sekolah-sekolah menengah Malaysia pada tahun 1989. Pada tahun 1992 ia mula dikembangkan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). MRSM Terendak dan MRSM Balik Pulau adalah perintis kepada program ini di MRSM. Program ini diselaraskan oleh Unit Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pendidikan Menengah MARA manakala di peringkat MRSM ia diletakkan di bawah kawalan Timbalan Pengetua Kokurikulum.

Pelaksanaan program PUM MRSM mendapat peruntukan sepenuhnya daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui INSKEN.

Semua Maktab Rendah Sains MARA diwajibkan melaksanakan Program Usahawan Muda (PUM) di tempat masing-masing. Peruntukan khas disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk melaksanakan aktiviti dan pembinaan kiosk. Peruntukan disalurkan melalui INSKEN.
(memandangkan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan mulai tahun 2011 INSKEN tidak lagi menyalurkan sebarang peruntukan terhadap program ini).

Pelaksanaan Program Usahawan Muda (PUM) di MRSM adalah seperti berikut:

a. Penubuhan Syarikat.

Semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dikehendaki menubuhkan satu atau dua buah syarikat di MRSM masing-masing. Semua syarikat yang ditubuhkan hendaklah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Menengah menggunakan borang pendaftaran yang disediakan.

b. Kursus Ahli Lembaga Pengarah (ALP)
Kursus Ahli Lembaga Pengarah (ALP) untuk pelajar dan guru-guru pembimbing adalah kursus wajib tahunan untuk ALP PUM yang baru memegang jawatan. Tujuan kursus ini adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman tentang cara pelaksanaan seperti penubuhan, pembudayaan, pengurusan, pemantauan, penataran, perantara, pendokumentasian, pelaporan dan lain-lain berkaitan aktiviti Program Usahawan Muda (PUM) di MRSM masing-masing. Kursus Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PUM diadakan mengikut zon

c. Pembinaan Kiosk PUM MRSM.

Untuk memberi kemudahan tempat berniaga pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui INSKEN telah menyediakan peruntukan membina kiosk di MRSM.

d. Konvensyen PUM MRSM Se-Malaysia.
Konvensyen PUM MRSM Se-Malaysia diadakan sebagai acara tahunan sebagai pengiktirafan syarikat yang cemerlang untuk menyertai Pertandingan Gerai Jualan, Pertandingan Kuiz dan Pertandingan Business Game serta merebut Anugerah-Anugerah seperti yang berikut :

  • Anugerah Syarikat Terbaik
  • Anugerah Laporan Tahunan Terbaik
  • Anugerah Persembahan Terbaik
  • Anugerah Perkhidmatan Terbaik
  • Anugerah Produk Terbaik
  • Anugerah Pengurus Terbaik
  • Anugerah Guru Pembimbing Terbaik
  • Anugerah Pengetua Terbaik
  • Anugerah Khas Juri

Pada setiap tahun sebuah MRSM akan dipilih sebagai tuan rumah untuk mengendalikan Konvensyen PUM MRSM Se-Malaysia ini. Selain merebut anugerah di atas pelbagai acara lain diadakan seperti Gerai pameran dan jualan, Ceramah oleh usahawan jemputan, tayangan filem berkaitan keusahawanan, persembahan muzik kumpulan jemputan, acara lawatan peserta ke kilang-kilang perniagaan setempat dan lain-lain yang difikirkan sesuai.

D. PENDIDIKAN KOPERASI SEKOLAH (KOPERASI MRSM BERHAD)

Koperasi di MRSM merupakan salah satu daripada kegiatan kokurikulum. Penubuhannya perlu dilihat oleh pengetua dalam banyak sudut dan bukan sebagai pusat pembelian peralatan sekolah sahaja. Skop dan ruang sumbangan koperasi sekolah amat luas dan kejayaannya memenuhi kehendak dan keperluan anggotanya adalah kejayaan bersama.

Sebagai salah satu daripada fungsi koperasi berdaftar di Malaysia, matlamat penubuhan koperasi sekolah mampu mewujudkan persekitaran yang sihat terhadap pembangunan koperasi. Matlamat ini tidak akan tercapai tanpa penglibatan pengetua yang benar-benar memahami, menghayati dan melaksanakan ideologi koperasi. Kepentingan ini telah disuarakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam kertas kerjanya ‘Ke Arah Memantapkan Pengurusan Koperasi Sekolah’ semasa Perayaan Hari Koperasi Sekolah (PHKS) tahun 2002. Empat perkara pokok yang perlu ada untuk memastikan pengurusan koperasi berjalan dengan baik dan berkesan untuk warga koperasi sekolah merangkumi:

a. Penghayatan terhadap matlamat penubuhan koperasi sekolah.
b. Memahami dan menghayati jati diri koperasi, tadbir urus koperasi dan perundangan koperasi.
c. Melaksanakan peranan, hak, tanggungjawab dan kewajipan.
d. Amalan demokrasi dalam melaksanakan dasar pembangunan koperasi sekolah.

Atas dasar semangat kepunyaan bersama, pengetua perlu memanfaatkan segala ilmu pentadbiran dan pengurusan yang diikuti sebagai landasan awal membentuk, merancang dan melaksanakan pembangunan koperasi sekolah masing-masing.

Prestasi dan pencapaian sesebuah koperasi sekolah masa kini boleh dikatakan tidak menentu yang mempunyai hubung kait dan pihak pentadbiran sekolah yang diketuai oleh pengetua. Umumnya, agak sukar kita menjadikan sesebuah koperasi sekolah untuk dijadikan contoh jika penyelidikan dan kajian tahunan dari segi strategi dan pencapaian tidak dibuat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Untuk ini, pengetua masa kini dan masa hadapan perlu memastikan wujudnya kesinambungan di dalam hal ini.

Peranan Pengetua dalam pembangunan kegiatan koperasi sekolah perlu dilihat dari sudut komitmen dan pengetahuan koperasi.

i. Komitmen

Keprihatinan pengetua terhadap kegiatan kokurikulum di maktab mestilah sama rata dan tidak tertumpu kepada bidang-bidang tertentu sahaja. Perkara ini telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bahawa kegiatan koperasi sekolah mampu membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dalam penerapan nilai FPN dan jalinan hubungan dengan kurikulum.

ii. Penerapan Nilai Falsafah Pendidikan Negara (FPN)

FPN yang dijadikan garis panduan dan teras dalam pembangunan sistem pendidikan di Malaysia merupakan satu entiti yang jelas dalam pembentukan pelajar yang seimbang dan berketerampilan. Nilai yang terkandung dalam FPN dan nilai dalam koperasi (seperti sadik, amanah dan telus), jika dihalusi dan diteliti dengan mengambil kira pelbagai faktor persekitaran maktab mempunyai perkaitan yang jelas.

Hubung kait kedua-dua nilai mampu memberi ruang kepada pengetua memperkenalkan kepentingan kegiatan dan perkhidmatan koperasi dengan meluas kepada para pelajarnya.

Untuk mencapai matlamat ini, perbincangan antara pengetua dan guru koperasi dalam memperkenalkan kaedah terbaik kepada semua pihak terlibat amat penting. Atas kesedaran ini, pengetua dapat menyumbangkan idea atau pandangan tentang elemen-elemen pentadbiran dan pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan efisien untuk memastikan guru koperasi menerapkannya dalam setiap aktiviti dan perkhidmatan koperasi. Penerapan ini melalui mobilisasi anggotanya ke arah yang lebih cemerlang dari segi perubahan etika.

iii. Jalinan Hubungan Dengan Kurikulum

Berdasarkan mata pelajaran di sekolah menengah, Pengetua boleh membahagikannya kepada dua bahagian iaitu teras dan elektif dalam mengaitkannya dengan kegiatan dan perkhidmatan koperasi. Bahagian teras merangkumi mata pelajaran seperti Kemahiran Hidup, Matematik, Prinsip Akaun dan Perdagangan, manakala bahagian elektif merangkumi mata pelajaran sejarah, geografi dan mata pelajaran lain.

Pembahagian mata pelajaran ini berkaitan jenis kegiatan yang menjadi tumpuan koperasi sekolah seperti penjualan peralatan sekolah, kantin, dobi, pelancongan yang memerlukan latihan dan kemahiran dalam catatan, pengiraan dan pentafsiran dokumen-dokumen utama koperasi. Galakan berterusan daripada pihak Pengetua akan memberi keyakinan dan kepercayaan kepada guru koperasi dan pelajar-pelajar melibatkan diri secara langsung dan memberi bahan-bahan tersebut kepada guru subjek bagi dijadikan contoh pembelajaran di dalam kelas.

Proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas, akan memudahkan pengetua dan guru subjek untuk melihat kecemerlangan pelajarnya dalam menguasai sesuatu tajuk dari semasa ke semasa. Kesinambungan sesebuah sekolah mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua bidang dan berupaya melahirkan pelajar yang berilmu, berwawasan dan berdaya maju.

iv. Pengetahuan Koperasi

Pengetua masa kini amat bertuah di dalam mendalami pergerakan koperasi sekolah kerana Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Kementerian Pelajaran mempunyai hubungan erat di dalam pelbagai program pendidikan koperasi seperti kursus wajib, seminar, bengkel dan forum.

Sebagai langkah awal, Pengetua perlu mengikuti kursus wajib Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang dianjurkan oleh MKM dan ANGKASA. Kursus ini memberi peluang kepada pengetua untuk
memahami jati diri koperasi, tadbir urus koperasi, hak dan tanggungjawab ALK, perundangan koperasi dan kewangan koperasi dengan lebih baik berbanding dengan sebelum ini. Semasa mengikuti kursus ini, pengetua tidak perlu berasa malu untuk mengemukakan persoalan-persoalan yang berhubungkait dengan mentadbir dan mengurus koperasi sekolah serta permasalahan yang sering dihadapi di dalam merancang dan melaksanakan gerak kerja koperasi.

Yang penting, kursus wajib ini membuka lembaran baru kepada pengetua untuk mencorak hala tuju koperasi sekolah masing-masing ke arah yang lebih baik dan berkesan. Pemahaman pengetua dalam persoalan ini memudahkan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada guru-guru untuk membuat perancangan tahunannya bagi melahirkan pelajar yang berketerampilan dan berwawasan sepertimana yang terkandung di dalam matlamat penubuhan koperasi.

Pada masa yang sama, Pengetua sekolah mendapat majalah koperasi iaitu PELANCAR yang diberikan secara percuma sebanyak lima naskhah setiap bulan. Berdasarkan kepada maklumat tentang kegiatan dan perkhidmatan yang dibangunkan oleh koperasi sekolah yang telah ditemu bual maka memudahkan pengetua dan guru yang terlibat membuat kajian, penyelidikan dan perbandingan untuk pembangunan koperasi sekolah masing-masing.

Seiringan dengan itu, Pengetua boleh mendapatkan buku bergambar tentang kegiatan koperasi sekolah yang bertajuk Portraits Of School Cooperatives, buku Pelancongan Koperasi Sekolah dan sebagainya daripada pihak ANGKASA untuk meningkatkan lagi pengetahuan tentang hala tuju gerakan koperasi di Malaysia.

Perkembangan teknologi maklumat masa kini membantu pengetua memantapkan diri tentang ilmu koperasi berbanding sebelum ini. Atas galakan Kementerian Pelajaran banyak sekolah telah membangunkan ruangan WEB sendiri dan ianya mempermudahkan hubungan langsung antara satu sekolah dengan sekolah yang lain. Begitu juga dengan kemudahan melayari laman WEB yang dibangunkan oleh agensi dan badan yang terlibat secara langsung dengan gerakan koperasi sekolah.
Perkongsian maklumat antara koperasi sekolah, antara koperasi sekolah dengan agensi seperti JPK Daerah, MKM dan ANGKASA membantu pengetua masa kini mengetengah idea-idea baru yang lebih sempurna seiring dengan FPN dan matlamat penubuhan koperasi sekolah.

Kesimpulannya, adalah sesuatu yang merugikan jika pengetua masa kini tidak mengambil berat atau mengambil tahu tentang sumbangan dan faedah gerakan koperasi sekolah untuk para pelajar yang terdiri daripada pelbagai gender dan sosiobudaya.

Pengamalan tadbir urus koperasi yang baik di dalam pentadbiran dan pengurusan koperasi sekolah adalah tunjang kepada pembangunan kecemerlangan aktiviti dan perkhidmatan koperasi sekolah. Atas kesedaran dan keyakinan pengetua sekolah, ianya dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya dan dipertahankan daripada mana-mana pengaruh yang boleh menjejaskan matlamat dan hala tuju koperasi sekolah.